UMNO Nak Kaji Islam Hadhari, Ust Nasha Gesa Buang Terus
Beliau berkata, tiada sebarang manfaat diperoleh sepanjang ia dilaksanakan, sebaliknya hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini sama ada Islam Hadhari itu adalah sebuah agama baru atau sekadar konsep.
“Saya tidak melihat sebarang pelaksanaan dibuat bagi memartabatkan Islam. Segala yang terkandung dalam konsep Islam Hadhari itu memang sudah dituntut dalam Islam,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Nasharudin berkata, tiada kesan positif sebelum dan selepas pelaksanaan konsep tersebut, sebaliknya keadaan umat Islam dilihat masih mendatar dan lebih malang lagi menjadi lebih keliru.
“Umat Islam dan sistem perundangan syariah masih berada di takuk lama. Justeru tindakan mengkaji semula konsep tersebut hanya satu usaha sia-sia yang tidak akan mendatangkan hasil,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Ustaz Norazli Musa menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas itu dan turut mencadangkan supaya menghapuskan konsep Islam Hadhari.
“Pada pandangan saya, Islam Hadhari ini tidak perlu dikaji, tetapi dihapuskan. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah Islam sebenar yang diturunkan oleh Allah SWT dan wajib diikuti oleh semua umat Islam,” katanya.
Menurutnya, kekeliruan yang timbul itu menyebabkan Islam Hadhari diharamkan di Selangor.
Beliau berkata, kepincangan dalam UMNO pada hari ini menggambarkan bahawa Islam Hadhari gagal dibawa oleh pemimpinnya sekali gus menunjukkan konsep tersebut tidak berkesan bagi membawa perubahan dalam peradaban.
Namun begitu, Norazli berkata, tidak menjadi kesalahan untuk mewujudkan satu peradaban Islam yang moden, tetapi perlu berlandaskan kepada acuan Islam yang sebenar supaya konsep Islam itu sendiri tidak disalah tafsirkan oleh masyarakat.
http://greenboc.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment