MB Perak Mohon Mahkamah Tinggi Isytihar Tindakan Speaker Tidak Sah
IPOH, 2 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri hari ini memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata beliau difahamkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 9 pagi esok.
Zambry dan enam Exco berkenaan yang merupakan plaintif turut memohon supaya mahkamah mengisytiharkan mereka berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang DUN dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan.
Sivakumar telah memanggil persidangan tergempar DUN Perak esok dan dilaporkan telah menghantar notis kepada semua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kecuali Zambry, enam Exco berkenaan dan tiga lagi Adun Bebas.
Saman pemula itu difailkan melalui para peguam Datuk Hafarizam Harun, Badrul Hisham Abdul Wahab dan Ong Teng Boon di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 3.55 petang dan lebih 50 penyokong Barisan Nasional (BN) berada di luar mahkamah.
Zambry berkata pihaknya turut memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri Perak tidak terikat dengan apa-apa perintah, arahan atau petunjuk daripada Sivakumar.
"Saya ingin mengatakan bahawa apa jua isu sama ada kononnya penggantungan saya dan enam plaintif yang lain, hak menghadiri sidang Dewan dan sebagainya sekarang adalah di hadapan Mahkamah, justeru itu apa jua tindakan YB Sivakumar bolehlah dianggap sebagai subjudis dan berunsur menghina Mahkamah," katanya.
Beliau menggesa Sivakumar supaya bertindak mengikut lunas undang-undang dengan kawarasan dan kewajaran selaras dengan sumpah beliau untuk mempertahankan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Perak.
Menteri Besar berkata persidangan tergempar yang diuar-uarkan esok adalah sidang yang tidak sah dan boleh dianggap sebagai suatu sidang yang menyalahi undang-undang kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.
"Saya selaku Menteri Besar bersama barisan Exco ingin menegaskan bahawa sepanjang pengetahuan saya, tiada perkenan Paduka Seri Sultan Perak terhadap yang dikatakan sidang Dewan Khas/Tergempar yang kononnya akan bermula sidangnya pada 3 Mac 2009 (esok) seperti yang diuar-uarkan oleh YB Sivakumar," kata Zambry.
Sidang akhbar Zambry dihadiri oleh semua Adun BN dan dua Adun Bebas yang menyokong BN iaitu Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi.
BN mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Perak selepas mendapat majoriti awal bulan lepas apabila tiga Adun Pakatan Rakyat mengisytihar diri sebagai Adun Bebas dan menyokong BN. Kerajaan negeri BN kini dianggotai 28 Adun BN dan tiga Bebas manakala pakatan pembangkang DAP-PAS-PKR mempunyai 28 wakil.
Semalam Sivakumar menegaskan bahawa tindakan beliau memanggil persidangan DUN tergempar itu adalah mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan dalam bidang kuasa Speaker.
Sebelum itu, Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri dalam satu kenyataan mengatakan Speaker DUN Perak tidak boleh memanggil satu sidang tergempar Dewan kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Sementara itu, polis telah mula mengadakan kawalan di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan menempatkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Ketua Polis Negeri Polis Datuk Zulkefli Abdullah telah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan esok.
Pintu masuk utama ke bangunan berkenaan juga akan ditutup esok.
Zambry sementara itu berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang cuba menggugat keselamatan.
http://www.bernama.com
No comments:
Post a Comment