Speaker Dewan Rakyat ikut jejak Speaker Dun Perak
MACHANG, 17 Mac (Hrkh) - Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggantungkan anggota parlimen Puchong, Gobind Singh Deo secara jelas mengiyakan segala tindakan dilakukan Speaker Dun Perak, V Sivakumar sebelum ini.
Tidakkah ia menggambarkan speaker berkuasa penuh, biar pun dalam kes di parlimen dianggap melampau apabila segala elaun dan kemudahan dinikmati anggota parlimen berkenaan dibekukan.
Maka penggantungan terhadap Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam lagi Adun Barisan Nasional di Perak dianggap sah. Cuma mereka lebih bernasib baik kerana segala elaun tidak dibekukan.
Mengulas perkembangan itu, bekas pensyarah undang-undang UIAM, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, kuasa speaker untuk menggantungkan seseorang anggota dewan sama ada di parlimen atau Dun semakin jelas sekarang.
"Mengapa keputusan Speaker Dun Perak sebelum ini dipertikai pemimpin Umno dan sekarang pula menyokong Speaker Dewan Rakyat menggantungkan seorang ahli.
"Kita jangan bersikap double standard kerana kuasa yang ada pada speaker lebih kurang sama. Jelas apa yang dilakukan Speaker Perak sebelum ini mengikut bidang kuasa yang ada," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Dewan Utama Dun Temangan di sini hari ini.
Perasmian itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat mengumumkan penggantungan Gobind daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama setahun berkuatkuasa serta merta.
Berikutan penggantungan tersebut anggota parlimen terbabit dibeku sebarang elaun dan kemudahan.
Dr Mohd Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, kejadian yang menimpa ke atas anggota Parlimen Puchong menjadi permulaan kebebasan wakil rakyat untuk bersuara dipancung bagi kepentingan politik Umno
. Menurutnya, isu yang dibangkit Gobind seharusnya dijawab Dato' Seri Najib Razak secara telus memandangkan dakwaan hubungannya dengan Altantuya tersebar luas di Perancis.
"Timbalan Perdana Menteri sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap media asing yang menyebarkan hubungannya dengan Altantuya.
"Negara luar akan memerhati negara kita seolah-olah mempunyai bakal Perdana Menteri yang diragui keperibadiannya," kata beliau.
Anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan yang diambil terhadap Gobind tidak akan menyelesaikan masalah kerana isu kisah peribadi Timbalan Perdana Menteri sudah tersebar luas di luar negara.
Menurutnya, Gobind ketika menjadi peguam bela kes Raja Petra mendapat maklumat daripada pegawai di mana Najib dikatakan menjadi saksi penting berkaitan kes Altantuya.
"Oleh itu Gobind menggunakan peluang di parlimen minggu lepas mempertikaikan kaedah siasatan polis. Gobind mendesak Najib menjawabnya.
"Keberanian Gobind seharusnya dipuji rakyat yang inginkan ketelusan berkaitan kes pembunuhan rakyat Mongolia tersebut," ujar beliau.
Menurutnya juga penarikan segala imbuhan sebagai anggota parlimen terhadap Gobind jelas tidak adil dan ia merupakan satu episod hitam terhadap demokrasi di negara ini.
Kata beliau sistem perundangan di negara ini semakin jelas kembali ke zaman gelap.http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment