Perak: Apa Selepas Ini
Tindakan Speaker yang mengumumkan perletakan jawatan dua orang exco PKR adalah tepat yang dengannya telah menyebabkan kedua-dua exco berkenaan dikeluarkan dari tempat persembunyian mereka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kedua-duanya menafikan telah menghantar surat perletakan jawatan tetapi kedua-duanya tidak menafikan pernah menandatangani surat perletakan jawatan tanpa tarikh selepas memenangi pilihanraya umum ke 12 yang lalu.
Semasa menandatangani surat tersebut pada 8 Mac lalu, sepastinya mereka penuh berkesadaran akan implikasinya, dan menerima risiko seandainya berpaling tadah.
Seperti sekeping cek kosong yang ditandatangi sekalipun tanpa tarikh, ia boleh ditunaikan di bank dengan pembawanya menulis tarikhnya bila masa cek itu perlu ditunaikan.
Sewaktu negara sedang sibuk menjejaki mereka, mereka berdua membisu, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan, malah daripada kenyataan adik salah seorang dari mereka menyatakan abangnya telah keluar dari PKR. Ini diperkuatkan kenyataan Perdana Menteri yang mengiyakan kemungkinan kedua-dua mereka menyertai UMNO/BN.
Justeru apa selepas ini? Perak kusut? Oh tidak. Speaker pada bila-bila masa boleh menarik balik perisytiharannya apatah lagi jika perisytiharan rasmi belum dikemukakan kepada pihak SPR.
Kedua, tindakan kedua-dua exco PKR ini perlu di siasat dan diselidiki dengan teliti. Apakah sebenarnya yang telah berlaku. Tidak cukup untuk menerima alasan mereka menyatakan cuti sakit. Tidak mungkin satu perkara yang “kebetulan” dua-dua yang menghadapi tekanan pertuduhan rasuah tiba-tiba kedua-dua sakit pada hari yang sama dan pulih pada masa yang sama.
Ketiga, mereka perlu dilucutkan jawatan exco kerana gagal untuk melaporkan kepada Ketua Kerajaan, di dalam konteks ini, Menteri Besar Perak, terhdap kehilangan mereka. Surat cuti sakit tidak dihantar ke Menteri Besar tetapi dikatakan diletakkan di pejabatnya. Siapa mengajarnya berbuat begitu? Perlucutan jawatan exco tidak boleh dipertikaikan kerana ia hak mutlak kepimpinan PR dan sekali lagi di dalam konteks ini MB Perak yang mempunyai bidangkuasa itu.
Keempat, mereka perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat yang telah menyebabkan kekecohan ini sehingga memaksa Speaker mengumumkan perletakan jawatan mereka kerana tidak mungkin sesuatu kawasan terbiar kosong tanpa wakil rakyat apa tah lagi mereka gagal untuk menghubungi pimpinan PKR sewaktu “kehilangan” mereka.
Kelima, mereka perlu bertindak jujur dengan memberitahu apa sebenarnya yang berlaku dan bukan mencipta helah sekadar menyatakan sakit. Apa yang nyata tindakan mereka yang berdiam diri sebelum ini benar-benar merupakan satu penyakit dan mereka perlu meminta maaf kepada rakyat sebelum mereka dihumbankan oleh rakyat sepertimana rakyat telah menghumbankan UMNO/BN sebelum ini!
Kuasa rakyat kuasa keramat!
Video akan menyusul
No comments:
Post a Comment