IPOH [4.16am] - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yakin sebarang keputusan yang perkenankan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil. “Saya yakin keputusan yang dibuat nanti cukup adil kepada rakyat di negeri Perak dan adil kepada parti politik, dan kita tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak,” katanya. Mohammad Nizar, yang ditemui di Ibu Pejabat Pas Perak untuk menghadiri mesyuarat tergempar parti itu di sini malam ini, berkata pada majlis menghadap beliau dengan Sultan Perak di Istana Kinta petang tadi, Sultan Azlan Shah belum menitahkan keputusan baginda kepadanya. “Tuanku bertitah baginda memerlukan masa untuk membuat kajian sedikit (atas cadangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Mungkin Tuanku akan merujuk kepada pakar perundangan supaya dapat mengelak sebarang krisis Perlembagaan. Saya akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku,” katanya bagi mengulas pertemuan selama dua jam di Istana Kinta petang semalam.
Mohammad Nizar berkata majlis mengadap Sultan Perak berjalan dengan cukup baik seperti biasa, dan telah mempersembahkan kepada baginda keadaan politik negeri Perak yang tidak menentu dan memohon perkenan baginda untuk membubar DUN dengan serta-merta. Memandangkan Sultan Perak belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, “Saya masih berterusan mentadbir bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat, dan akan menjalankan tugas seperti biasa.” Beliau berkata pada pandangan Pakatan Rakyat, bagi menyelesaikan masalah ketidak tentuan politik di negeri ini berikutan wujudnya Adun yang melompat parti, maka adalah baik diadakan pilihan raya semula dan keputusannya akan menjadi lebih bersih. Jika Sultan Perak tidak berkenan untuk membubarkan DUN, kerajaan Pakatan Rakyat masih boleh memerintah sebagai kerajaan sementara dan kerajaan ini masih sah sebagai kerajaan minoriti seperti yang berlaku di Kanada dan India, katanya.
Menyentuh mengenai tindakan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang meninggalkan parti DAP untuk menjadi wakil bebas dan menggugat jawatannya sebagai Timbalan Speaker DUN, Mohammad Nizar berkata “kita perlu tunggu keputusan sama ada kerajaan negeri dibubarkan atau tidak”. “ Buat masa ini, kita kena kaji semula Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak mengenai perkara itu,” katanya. Menyentuh mengenai pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya hari ini yang mengatakan Barisan Nasional (BN) Perak kini mempunyai kerusi majoriti di DUN, Mohammad Nizar tidak mahu mempercayainya, dan sekiranya benar ia adalah satu konspirasi politik yang besar. Katanya empat Adun Pakatan Rakyat itu belum menyerahkan kenyataan rasmi mengenai keputusan mereka untuk menjadi wakil bebas. Mengenai Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai semula Umno, Menteri Besar Perak itu mendakwa Nasaruddin mungkin dipaksa keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru disertai pada 25 Januari lalu atau “sebagainya”.
Kami juga mengharapkan agar Tuanku Sultan Perak akan diberi hidayah untuk membuat keputusan yang adil dan saksama demi kepentingan dan masa depan rakyat secara keseluruhannya. Dalam kekalutan ini, memang elok kita serahkan semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan kekuatan. Segalanya kini terletak ditangan Sultan Perak, sememangnya terdapat gangguan teknikal yang amat kritikal sekarang ini. Cuma, ramai yang mengharapkan agar Sultan mereka tidak bis kepada mana-mana mungkin dan persemaan yang wujud antara sesama mereka.
http://pahangdaily.blogspot.com-perak-menteri.html
No comments:
Post a Comment