[DIKEMAS KINI] IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Pakatan Rakyat akan membawa usul undi percaya terhadap "kepimpinannya" sebagai ketua kerajaan negeri yang "sah" apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang.
Menjelaskan perkara itu di sini 3 petang tadi, Nizar berkata, pihaknya mahu menggunakan sidang DUN untuk membuktikan bahawa Pakatan masih sah untuk menerajui kerajaan negeri.
Terdahulu pada sidang akhbar sebelum keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar pagi tadi, Nizar menjangkakan suasana "huru-hara" apabila Pakatan membawa usul sedemikian pada sidang akan datang.
Belum ada tarikh ditetapkan bila DUN akan bersidang semula.
Kata Nizar, beliau menjangkakan BN hanya akan mempunyai 21 orang anggota di DUN berbanding 28 wakil di pihak Pakatan ekoran penggantungan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abddul Kadir, enam Exconya serta "tiga ekor katak".
Ketiga-tiga mereka merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang keluar daripada Pakatan dan kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.
"Kami akan membawa usul undi tidak percaya dan kita akan melihat siapa yang akan mendapat majoriti," katanya.
"Ini perlu diuji di dalam Dewan Undangan Negeri," kata beliau.
Sehubungan itu, jelas Nizar, tindakan Speaker DUN V. Sivakumar menghantar surat kepada Sultan Perak memohon diadakan persidangan Dewan pada April ini dan tarikh berkenaan adalah mengikut jadual persidangan yang telah dirancang tahun ini.
Beliau berkata, wakil rakyat BN atau Pakatan boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan itu.
Ditanya mengenai tindakan Speaker menggantung Zambry dan enam Exconya serta tiga ADUN Bebas, katanya, keputusan Speaker itu adalah mengikut peraturan dan kuasa beliau dan keadaan berkenaan menyebabkan BN kini takut untuk mengadakan persidangan Dewan.
Terdahulu, Nizar secara rasmi berpindah dari kediaman rasmi Menteri Besar di sini pagi ini.
Kata Nizar, beliau berpindah sebagai menghormati peraturan dan arahan Setiausaha Kerajaan negeri Perak dan bukan bermakna menyerah kalah kerana proses mahkamah masih berjalan dalam menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar yang sah.
Berucap pada majlis meraikan wartawan sempena perpindahan beliau secara rasmi dari kediaman itu, katanya, Perak tidak lagi menjadi destinasi yang meyakinkan pelabur asing ekoran kemelut peralihan kuasa kerajaan negeri yang mencetuskan krisis perlembagaan.
Beliau berkata, pelabur tidak yakin untuk datang ke Perak jika krisis perlembagaan yang berlaku itu dibiar berterusan.
Keadaan yang menjejaskan ekonomi dan pembangunan negeri itu tidak akan selesai selagi DUN tidak dibubar dan rakyat diberi hak untuk memilih kerajaan yang dikehendaki, kata beliau.
Peralihan kuasa itu berlaku apabila BN menguasai majoriti kerusi DUN setelah empat wakil rakyat Pakatan Rakyat, tiga mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas dan seorang menyertai Umno bulan lalu.
Kerajaan Pakatan telah memohon pembubaran DUN bagi adakan pilihan raya negeri selepas kehilangan majoriti awal bulan ini tetapi tidak diperkenan Sultan Perak.
No comments:
Post a Comment