23 February 2009

Negeri Perak kini dikuasai oleh 3 “orang” katak.


Menatang Si Katak

Bukan BN (Barisan Nasional) yang baru sahaja menumbangkan PR (Pakatan Rakyat) di Perak yang akan menguasai pentadbiran negeri Perak. Sebaliknya, negeri Perak kini dikuasai oleh 3 “orang” katak.

Kerajaan BN Perak kini perlu menatang 3 katak itu seperti menatang minyak yang penuh. Jika 3 katak itu tidak berpuas hati dengan kerajaan BN, mereka boleh menumbangkan kerajaan BN pada bila-bila masa sepertimana yang telah mereka lakukan pada kerajaan PR.

Samada BN mahu mengaku atau tidak, kini kerajaan BN Perak perlu mengutamakan ‘kebajikan’ 3 katak itu lebih daripada kebajikan berjuta rakyat Perak. Hatta kalau mereka perlukan sijil sakit sekalipun, mana-mana hospital boleh mengeluarkannya. Tidak perlu beli MC di klinik Kg Baru, seperti kata seorang kawan saya.

Realitinya kini, 2 daripada 3 katak itu sedang berhadapan dengan 16 pertuduhan rasuah di mahkamah. Seorang daripada mereka sudahpun mengaku yang dirinya telah berzina dan kemudiannya menganggap perbuatan itu sama seperti menerima sedekah jariah.

Bayangkan nasib BN nanti jika kedua-duanya didapati bersalah oleh mahkamah? BN terpaksa jua berhadapan dengan pilihanraya kecil. Kalau ditakdirkan BN kalah, ertinya BN hanya memiliki majoriti 1 kerusi. Apakah jaminan yang BN boleh beri yang seorang lagi katak itu nanti (Bekas ADUN DAP) tidak akan beralih sokongan? Atau adakah Adun Bota akan teringat kembali pesanan ibunya dan ingin berhijrah sekali lagi ke PR?

Dan bayangkan juga jika keduanya terlepas dari pertuduhan itu. Rakyat tentunya akan mempercayai dakwaan PR yang menyatakan Najib telah menjanjikan itu dan ini kepada 2 katak itu. Malah si katak itu sendiri telah mengaku berada di Pahang (negeri Najib) dan lebih melucukan, kedua katak itu pula sakit dalam waktu yang sama dan berubat di tempat yang sama ketika kerajaan PR mengumumkan kehilangan mereka berdua.

Tentu sahaja rakyat akan tertanya-tanya, mereka ‘sakit’ apa dan ‘ubat’ apa yang ada di Pahang sehingga mereka mahu ‘menyokong’ BN?

Pernahkah BN memikirkan tentang persepsi rakyat nanti terhadap kebebasan badan kehakiman serta integreti SPRM? Lebih penting lagi, adakah Najib mampu mengubah persepsi buruk yang sedang dihadapinya kini? Jika Pak Lah yang pada awalnya dianggap Mr Clean pun boleh tewas dalam pertarungan persepsi, apakah jaminan yang Najib boleh beri yang dirinya akan menang dalam pertarungan persepsi pada PRU ke 13 nanti?

Jangan lupa! Dua minggu sudah, Koperal Sirul Azhar yang dituduh membunuh Altantuya sudahpun menyatakan yang dirinya hanyalah kambing hitam bagi konspirasi pihak tertentu dalam hujah pembelaannya. Kenyataan itu biarpun belum tentu benar atau salah, namun ianya akan meninggalkan kesan dan parut pada imej Najib sebagai ‘PM in waiting’.

Sebelum ini pun, kehilangan mengejut Bala (bekas penyiasat persendirian Razak Baginda) bersama ahli keluarganya selepas mengubah akuan bersumpahnya terhadap Najib masih lagi menjadi tanda-tanya banyak pihak.

Dari mana Bala mendapat wang sehingga mampu tinggal di luar negara untuk tempoh yang begitu lama dan kenapa Bala terlepas begitu sahaja selepas ‘suka-suka’ membuat dan mengubah akuan bersumpahnya? Sehingga kini, persoalan mana satu akuan bersumpah Bala yang betul dan yang salah masih belum terjawab. SPRM mahupun polis seakan tidak berminat langsung untuk menyiasat kes Bala yang lesap begitu sahaja.
Adakah BN sudah terlupa, antara punca utama rakyat menolak BN pada PRU ke 12 dahulu adalah kerana rakyat tidak berpuas hati dengan kebebasan sistem kehakiman dan juga isu rasuah yang dikaitkan dengan pentadbiran BN.

Jika benar BN sudah sedar tentang perkara ini, mengapa BN rela mengambil risiko yang amat besar bila sanggup bersekongkol dengan 2 ekor katak yang sudahpun dibuang oleh PR kerana masalah moral dan etika kepimpinan? Dalam hal ini, BN tidak boleh mempersalahkan rakyat jika mereka menganggap BN sebagai pelindung perasuah dan menilai PR sebagai parti yang tidak mahukan perasuah dalam senarai kepimpinan mereka.

Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh sendiri telah memberi peringatan yang jelas kepada UMNO dan BN. Tindakan mereka menerima sokongan 2 katak itu hanya akan melemahkan lagi imej BN serta menyukarkan lagi agenda perubahan yang cuba dilakukan oleh BN. Peringatan 2 tokoh besar UMNO itu sepatutnya difikirkan secara serius dan mendalam oleh BN jika BN benar-benar mahu mendapatkan kembali sokongan rakyat. Nampaknya kini, BN lebih kemaruk mengambil-alih Perak daripada memikirkan natijah buruk yang bakal diterimanya pada PRU ke 13 nanti.

Ramai penganalisis politik berpendapat, tindakan BN mahu menguasai kerajaan negeri Perak melalui sokongan 3 katak itu adalah perbuatan yang sia-sia dan terlalu gapah. Tindakan itu tidak menguntungkan BN untuk jangkamasa panjang. Memang benar BN berjaya menumbangkan kerajaan PR di Perak, tetapi tindakan itu bolehlah dianggap sebagai menang sorak, kampung tergadai.

BN sepatutnya tidak perlu tergesa-gesa untuk merampas Perak dari tangan PR. BN sepatutnya menyokong tindakan PR yang mahu mengosongkan 2 kerusi katak yang bermasalah itu. Jika pilihanraya kecil diadakan, BN sepatutnya memboikot pilihanraya kecil itu. Alasan kegawatan ekonomi sudah cukup untuk dijadikan hujah bagi mempertahankan tindakan itu.

Sekurang-kurangnya, rakyat akan menghormati BN sebagai parti yang konsisten menolak perbuatan melompat parti. Sekarang ini, jelas sikap BN adalah 2x5 dengan PR berhubung perbuatan melompat parti. Kalau dulu BN mengutuk habis-habisan PR kerana mempromosikan acara lompat katak, kini BN pula yang beria-ia mempertahankan katak-katak.

Biarpun 2 katak itu telah mempersoalkan tindakan PKR yang telah membuang dan menamatkan khidmat mereka, namun ianya gagal mengugat persepsi rakyat terhadap kepimpinan tertinggi PR. Rakyat mengganggap tindakan yang diambil oleh PR adalah sesuatu yang tepat dan memenuhi aspirasi rakyat. Buat apa nak disimpan ADUN yang lebih suka main sorok-sorok daripada melihat periuk rakyat di kawasannya itu berasap atau tidak.

Sekurang-kurangnya, ketegasan yang ditunjukkan PR ini akan menyebabkan pemimpin PR yang lain akan lebih berwaspada dan sentiasa beringat dengan amanah dan tanggungjawab yang sedang dipikul oleh mereka. Jika mereka didapati melakukan kesalahan atau tidak beretika, PR tidak akan teragak-agak akan menamatkan khidmat mereka. Pendirian tegas oleh PR ini jelas menguntungkan rakyat.

Misalnya, skandal yang melibatkan Adun PKR (Bukit Selambau) telah diakhiri dengan perletakan jawatannya secara serta-merta. Biarpun cerita bekas ADUN itu diugut pihak tertentu dijadikan alasan oleh kepimpinan PR, namun persepsi rakyat lebih ke arah skandal moral yang sedang dihadapi oleh bekas Exco itu. Apa salahnya jika PR mengaku yang bekas ADUN Selambau itu mempunyai masalah moral dan tidak boleh dipertahankan lagi jika benar bekas ADUN itu terlibat?

Pendirian tegas untuk menolak pemimpin yang ‘bermasalah’ tidak berapa kelihatan pada UMNO dan BN di mana terdapat segelintir pemimpin UMNO dan BN yang masih diberikan tempat biarpun mereka pernah terlibat dalam pelbagai jenis skandal. Misalnya skandal yang melibatkan Muhammad Mohd Taib, Rahim Thamby Chik, Chua Soi Lek dan lain-lain lagi.

Jika UMNO dan BN benar-benar mahu menjenamakan semula parti mereka, pemimpin yang bermasalah perlu disingkirkan serta-merta. Kan orang dulu-dulu dah ajar, jangan biarkan botol nila dekat dengan belanga susu. Kerana setitik sahaja nila, habis rosak susu sebelanga.

Dan kini, ada seorang lagi katak dari Pasir Mas yang dilihat sedang mengintai tempat dalam UMNO. Adakah BN perlu menatang juga katak itu? Tepuk dada, tanya selera…

Nota: Kalau tak faham maksud menatang, boleh semak dalam kamus DBP.

http://nuraflah.blogspot.com

No comments:

http://lh3.ggpht.com/_NG2rpR7PL40/Sd7ECBLUWVI/AAAAAAAAAj4/cwlPA3Kc0GA/s720/bersemadi%20UMNO3.JPG


LYRIC

A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they're dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who's wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight




http://lh4.ggpht.com/_NG2rpR7PL40/ScNA7ekrAAI/AAAAAAAAAe4/MnAONBmvtlE/pinkturtle%20video.JPG